Hasil pembentangan dan perbincangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Kerajaan Sarawak telah bersetuju beberapa perkara antaranya cadangan pindaan pembentangan dalam perkara 1(2) mengenai tiga (3) wilayah dalam pembentukan Malaysia.
Selain itu, isu-isu yang dibentangkan oleh Sarawak dan Sabah juga akan diperinci dan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam dua (2) jawatankuasa yang turut ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja.
Ketiga, mesyuarat juga bersetuju ke atas penambahan ahli-ahli bagi Jawatankuasa Khas seperti yang dicadangkan oleh kedua-dua pihak Sabah dan Sarawak.
Perkara keempat, Kerajaan Sarawak bersetuju bahawa kajian semula perkara-perkara khusus yang hanya melibatkan Sarawak dan Sabah tidak akan menjejaskan kedudukan negeri lain dalam hal kuasa negeri untuk menggubal undang-undang negeri, geran khas dan hasil pendapatan khas (special revenue) di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Selain daripada perkara-perkara yang dipersetujui di atas, Kerajaan Sarawak turut bersetuju dengan cadangan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali supaya perbincangan mengenai isu berkenaan hal-hal petroleum diteruskan di antara Kerajaan Sarawak dan PETRONAS.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada sidang media setelah beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 3 Januari 2019.
Menurut beliau, Jawatankuasa Kabinet ini akan diberi tempoh selama enam (6) bulan bagi mendapatkan laporan penuh dan jalan penyelesaian bagi isu-isu yang dikemukakan.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kerja akan mula membincangkan perkara-perkara ini mulai Januari 2019 manakala mesyuarat seterusnya bagi Jawatankuasa Kabinet pula dijangka diadakan pada bulan Februari dan April akan datang.