- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Program Berambeh ‘Baitulmal Bersama Rakyat’ di Kampung Tanah Putih, Batang Sadong, Serian

Must read

Oleh Fadlullah @ Fadilah Bin Abdullah

Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) pada 24 dan 25 Mei 2008 yang lalu telah mengambil inisiatif menjayakan ’Majlis Baitulmal Bersama Rakyat’ di Kampung Tanah Putih, Batang Sadong, Serian.

Ini merupakan majlis ’Baitulmal Bersama Rakyat’ yang ke-empat bagi tahun 2008 selepas Kampung Batu Telenggai, Miri, Kampung Bawang Assan, Sibu dan Kampung Penan Muslim Batu 10, Bintulu. Program Berambeh di Kampung Tanah Putih, Serian telah dijayakan oleh 23 orang Staf TBS (Ibu Pejabat dan TBS Cawangan Samarahan).

Majlis ’Baitulmal Bersama Rakyat’ di Kampung Tanah Putih kali ini merupakan satu kesinambungan kepada beberapa buah program yang sama yang telah dianjurkan oleh TBS sejak awal tahun 2006. Majlis tersebut adalah bertujuan untuk memasyarakatkan Baitulmal supaya umat Islam lebih mengetahui dan memahami peranan dan fungsi kewujudan Tabung Baitulmal Sarawak secara lebih dekat lagi.

’Amalan turun padang’ ini juga merupakan landasan bagi warga Baitulmal untuk membina dan menjalinkan ukhuwah Islamiah serta kesefahamanan di kalangan umat Islam khasnya dan masyarakat umum amnya. Dengan adanya program sebegini, peranan dan maklumat yang berkaitan dengan Baitulmal dapat disampaikan kepada masyarakat Islam. Di samping itu, pelbagai masalah umat Islam juga dapat diselesaikan dengan kadar segera.

Sementara itu, Majlis Penangguhan ’Baitulmal Bersama Rakyat’ turut diselitkan dengan sesi ”Dialog Bersama YB Datuk Daud Abd.Rahman” bagi membuka ruang dan peluang kepada umat Islam mengemukakan pelbagai cadangan dan juga permasalahan yang mereka hadapi.

Dalam Majlis Penangguhan Baitulmal Bersama Rakyat pada 25 Mei 2008 (Ahad), TBS mengagihkan bantuan sebanyak RM24,444.30. Sumbangan tersebut merangkumi Bantuan Rawatan/Perubatan, peralatan dan kemudahan asas Masjid Darul Amaliah, beg sekolah dan juga pelbagai bantuan lain.

Majlis Penyerahan Bantuan Baitulmal tersebut disempurnakan oleh YB. Datuk Haji Daud Abdul Rahman, Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) merangkap Pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf Negeri Sarawak. Sebelum itu, beliau telah menyampaikan amanat dan juga sesi dialog dengan penduduk kampung tersebut.

YB. Datuk Haji Daud ketika berucap pada majlis itu menyatakan bahawa pemilihan kampung itu bagi program berambeh TBS kali ini bagi menzahirkan harapan pihak TBS dan Kerajaan yang ingin melihat penduduk yang tinggal di kawasan yang terpencil tidak terpinggir daripada pembangunan arus perdana negara

“Mudah-mudahan dengan adanya program seumpama ini, umat Islam akan mengetahui sedikit sebanyak tentang peranan dan fungsi TBS, terutamanya Program Bantuan yang disediakan oleh TBS. Di samping itu, masyarakat Islam setempat juga berpeluang mengemukakan pelbagai masalah yang mereka hadapi selama ini. Kita amat mengharapkan program ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya demi kebaikan semua pihak,” tambah beliau lagi.

“Walaupun demikian, kita tidak dapat memberi sebarang jaminan penyelesaian terhadap semua masalah yang dikemukakan dalam dialog ini. Namun begitu, kita akan berusaha sedaya upaya memberi keutamaan dan perhatian terhadap kepentingan dan keperluan asas masyarakat, dan berusaha menyelesaikannya secara berperingkat-peringkat, insya-Allah”, ujarnya lagi.

Pada sesi dialog itu juga, YB. Datuk Haji Daud Abd.Rahman telah memaklumkan peruntukan kewangan sebanyak RM145,000.00 untuk Masjid Darul Amaliah.
Terdahulu, Encik Megat Bin Aben, Ketua Kaum Kampung Tanah Putih mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak TBS yang telah memilih kampung mereka bagi melaksanakan program tersebut. Beliau juga turut melahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada YB. Datuk Haji Daud Abd. Rahman yang telah sudi datang ke kampung mereka.

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article