- Advertisement -spot_img
4,777
published news
and counting

Kuching Bakal Miliki Tebingan Sungai Tercantik

Must read

Kerajaan Negeri melalui Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bercadang untuk membina dan mencantikkan tebingan sungai Kampung Sungai Bedil hingga ke Kampung Tanjung, Petra Jaya, Kuching.

Menurut Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, cadangan pembinaan tebingan tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menarik lebih ramai pelawat ke negeri ini, khususnya bandar raya Kuching.

“Kita telah menaik taraf Tebingan Kuching dan juga telah menaik taraf kampung-kampung di seberang sungai ini.

“Kita juga akan menaik taraf tebingan semula jadi yang akan dicantikkan di antara Kampung Sungai Bedil hingga ke Kampung Tanjung pada tahun ini juga,” ujar Ketua Menteri.

Jelas beliau, pembinaan tebingan di sepanjang dua kampung berkenaan akan mencantikkan lagi kedua-dua tebingan Sungai Sarawak, malah bakal menjadikan tebingan dan Sungai Sarawak antara sungai yang indah dan tercantik di negara ini dan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan terkini.

Tambah beliau, projek tersebut juga merupakan salah satu usaha untuk menjadikan Kuching sebagai sebuah bandar raya yang mesra alam di samping penduduknya yang juga begitu mesra.

Ketua Menteri memaklumkan perkara tersebut ketika berucap merasmikan majlis Agenda Warisan Pintar Old Kuching anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang berlangsung di Tebingan Kuching pada malam 27 Mac 2019.

Yang turut hadir ialah Datuk Bandar Kuching Utara YBhg Datuk Haji Abang Abdul Wahap Haji Abang Julai, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan YB Datuk Prof. Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan YB Datuk Lee Kim Shin dan Setiausaha Kerajaan Negeri YB Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Bertemakan ‘Empowering Smart Community’, Agenda Warisan Pintar Old Kuching merupakan program penjenamaan semula Majlis Agenda DBKU yang telah bermula sejak 25 Mac dan berakhir pada 31 Mac 2019.

Program yang bertujuan untuk menjadikan Kuching sebagai sebuah Bandar Raya Warisan Pintar dan diisi dengan pelbagai acara menarik seperti pameran, gerai jualan, aktiviti rekreasi, persembahan kebudayaan dan sebagainya turut dijayakan oleh Old Kuching Smart Heritage (OKSHe) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article