Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg melakukan simbolik pelancaran pejabat Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di Bangunan Yayasan Sarawak pada 19 November 2019.
Turut kelihatan Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datu Jaul Samion (satu, kiri), Menteri Pendidikan Sains dan Teknologi YB Dato Sri Michael Manyin Jawong (dua, kiri) dan Pengurus Besar SMA, YBrs. Dr Zaidi Razak.
Aplikasi Sarawak Pay yang telah dilancarkan pada 7 November 2017 sebagai satu platform bagi menggalakkan penggunaan aplikasi pembayaran tanpa tunai bakal dikenali dengan nama baru yang disebut “S Pay”.
Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg ketika merasmikan Pejabat Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di Bangunan Yayasan Sarawak, Jalan Masjid Kuching pada 19 November 2019.
Menurut beliau, penjenamaan semula Sarawak Pay itu adalah selari dengan sasaran untuk menjadikan aplikasi berkenaan dapat digunakan di peringkat global.
Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan Union Pay bagi membangunkan aplikasi tersebut di peringkat global agar pengguna aplikasi akan dapat menggunakan S Pay tersebut di mana-mana negara yang menerima Union Pay.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan Sarawak pay yang telah diwujudkan sejak tahun 2017 telah mencapai kejayaan yang agak memberangsangkan setelah mencatat jumlah pengguna berdaftar lebih daripada 100,000 orang.