Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah (empat, kiri) bergambar bersama wakil delegasi serta para penari kebudayaan dari Malaysia, Brunei, Indonesia dan Filipina selepas beliau merasmikan Pesta Budayaw BIMP-EAGA 2019 Edisi Kedua di Atrium Plaza Merdeka, Kuching pada 19 November
Turut kelihatan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Encik Hii Chang Kee (enam, kiri)
Kerajaan Sarawak akan terus menyokong dan menggalakkan penganjuran acara-acara kebudayaan serantau seperti Festival Budayaw BIMP-EAGA (Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Filipina).
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menjelaskan, festival sedemikian dapat mempromosi pelancongan seterusnya menjana pendapatan negara-negara BIMP-EAGA.
Hubungan baik antara keempat-empat negara dapat memberi manfaat dari pelbagai aspek terutama dalam sektor ekonomi.
Oleh itu menurut beliau, semua negara anggota perlu terus mengukuhkan persefahaman dan saling menghormati di antara satu sama lain melalui penganjuran festival kebudayaan.
Selain itu, kerjasama daripada kerajaan dan sektor swasta dalam mempromosi industri pelancongan serantau juga perlu bagi meningkatkan pemahaman dan perasaan hormat menghormati melalui inisiatif penganjuran acara seperti Pesta Budayaw.
Sehubungan itu, beliau menyeru sektor swasta di negeri ini untuk sama-sama terlibat dalam menjayakan program-program BIMP-EAGA pada masa akan datang.
YB Datuk Haji Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak memaklumkan perkara tersebut ketika merasmikan Pesta Budayaw BIMP-EAGA 2019 Edisi Kedua di Atrium Plaza Merdeka, Kuching pada 19 November.
Yang turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Encik Hii Chang Kee yang juga Pengerusi Festival Budayaw 2019.
Festival Budayaw 2019 Edisi Kedua berlangsung dari 19 hingga 23 November bertempat di Atrium Plaza Merdeka, Kuching dan disertai oleh delegasi seramai 360 orang dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina termasuk dari Wilayah Utara Australia.