Ruang pejabat Hab Inovasi Digital SMA-TEGAS, Miri
Pelancaran Hab Inovasi Digital SMA-TEGAS terletak di Time Square Miri baru-baru ini, menyediakan satu lagi platform inklusif untuk melahirkan bakat-bakat baharu, menyokong usahawan dan melahirkan “pencipta” inovasi di wilayah utara.
Ia juga sebagai komitmen Sarawak selaras dengan agenda untuk meningkatkan usahawan teknologi yang berjaya dan seterusnya memacu ekonomi digital di negeri ini seperti yang digariskan dalam Strategi Ekonomi Digital Sarawak 2018-2022.
Dikendalikan oleh Tabung Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan pembiayaan daripada Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), hab inovasi ini menawarkan akses kepada ruang dan kemudahan pejabat, peluang pembiayaan dan pemudahcara selain program inkubator dan pecutan selain menyediakan ekosistem mesra usahawan.
Hab Inovasi juga adalah sebahagian daripada inisiatif ekosistem Kampung Digital Sarawak oleh SMA, yang setakat ini telah melaksanakan 492 inisiatif pada 2019 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan.
Terdapat 200 program telah diadakan di lima (5) hab inovasi digital yang telah diadakan di Kuching, Sarikei, Bintulu, Sibu dan Miri memanfaatkan 5,100 peserta.
Menjelang tahun ini (2020), SMA mensasarkan akan mewujudkan 14 hab inovasi meliputi ke setiap bahagian.