Puan Hasheenabeeri Mohamed Attaullah merupakan pembekal rempah-ratus di kedai-kedai runcit sekitar Sarikei
Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) telah memperkenalkan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) bagi menggalak serta membantu usahawan-usahawan baharu di Sarawak mengembangkan perniagaan mereka.
Skim yang akan diurus oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Agrobank ini menawarkan permohonan kepada usahawan Bumiputera dan usahawan bukan Bumiputera terutama daripada kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan akses kepada pinjaman mudah.
Bagaimanapun, setiap pemohon haruslah mempunyai permit pendaftaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Di bawah skim ini, maksimum pinjaman yang ditetapkan ialah RM50,000 di mana sasaran pelanggan untuk pinjaman RM1,000 hingga RM10,000 adalah kumpulan B40 manakala pinjaman RM5,000 hingga RM50,000 ialah usahawan mikro dan usahawan kecil.
Tempoh pinjaman SKMS ialah antara satu hingga lima tahun bergantung kepada jumlah pinjaman yang dimohon.
Dalam Belanjawan Negeri 2020 yang dibentangkan oleh Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg pada November tahun lalu, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk tujuan tersebut.