Gula adalah baik untuk tenaga, namun pengambilan secara berlebihan boleh memudaratkan
Pengambilan gula berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan.
Jika pengambilan tenaga harian yang berlebihan berlaku dalam jangkamasa yang panjang, peningkatan berat badan atau obesiti boleh berlaku.
Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak serta kurang melakukan aktiviti fizikal.
Obesiti meningkatkan risiko mendapat pelbagai jenis penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan sakit jantung.
Bagi mengurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman, Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan tujuh (7) langkah bijak yang boleh diamalkan.
Pertama, minum air kosong bagi menggantikan minuman manis seperti air berkarbonat, air sirap dan cordial.
Kedua, hadkan gula, susu pekat manis, susu isian pekat manis dan krimer manis kepada 1 sudu teh sahaja untuk setiap cawan minuman.
Ketiga, elakkan menambah gula dalam masakan. Sediakan kuih dan kek yang rendah kandungan gula.
Keempat, elakkan makanan dan minuman bergula di antara hidangan utama dan sebelum waktu tidur.
Kelima, makan buah sebagai pencuci mulut bagi menggantikan makanan bergula seperti kuih, kek dan bubur.
Keenam, baca label dan elakkan produk yang menyenaraikan gula di bahagian awal senarai ramuan dana yang ketujuh, pilih produk berlabel “rendah gula” dan “bebas gula”.