“Pustaka in a Box” merupakan aplikasi luar talian (offline) yang telah dicipta oleh Pustaka Negeri Sarawak dengan kerjasama Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Inisiatif ini dicipta sebagai satu usaha untuk meningkatkan kadar literasi maklumat dan aktiviti pencarian maklumat di kawasan yang lemah atau tiada akses internet.
“Pustaka in a Box” menggunakan mikrokomputer (Raspberry Pi) untuk menyediakan kemudahan seperti e-buku, artikel digital, video dan sumber digital lain yang tidak dilindungi di bawah akta hak cipta.
Alat ini diisi dengan Raspbian Jesse yang mengandungi Wikipedia untuk sekolah, Khan Academy serta Projek Gutenberg dimana seramai 20 orang pengguna boleh mengaksesnya dengan serentak melalui wifi tempatan yang dipancarkan oleh Raspberry PI pada jarak 20 meter.
Sehubungan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Sarawak telah bersetuju untuk membantu Pustaka dan UNIMAS membangunkan produk ini melalui program usahawan inovatif.
Produk yang mampu menyediakan beribu-ribu maklumat digital di tempat yang tidak dapat diakses oleh internet ini pasti memberi manfaat kepada pelajar secara tidak langsung dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka dari pelbagai sumber yang disediakan.
Dengan “Pustaka in a Box” ini juga, pihak sekolah tidak perlu khuatir memandangkan para pelajar tidak akan dapat menyimpang untuk melayari laman web lain dalam internet.