- Advertisement -spot_img
4,842
published news
and counting

Sumber Tenaga Kian Terhad

Must read

Di Malaysia, kita menjana kira-kira 20 ribu megawat elektrik yang mana gas penyumbang utama iaitu sebanyak 72 peratus, arang batu 17 peratus, hidro tujuh peratus, minyak tiga peratus dan satu peratus bagi sumber tenaga lain termasuk tenaga suria.

Namun, adakah peratusan ini akan terus kekal untuk sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang? Keadaan itu pasti membawa kepada masalah baru yang bukan sahaja bakal dihadapi oleh negara kita, bahkan penduduk di seluruh dunia.

Sumber yang kita gunakan untuk menjana tenaga elektrik akan kehabisan. Kita juga akan berdepan dengan sumber yang kian terhad seterusnya menjadi rebutan dan melonjakkan harganya pada masa akan datang.

Sehubungan itu, persoalannya di sini ialah adakah kita atau generasi akan datang telah bersedia untuk berhadapan dengan situasi itu? Apakah peranan kita masing-masing selain daripada usaha kerajaan melalui pelbagai program dan polisi yang digunapakai ketika ini?

Mempelbagai Sumber Tenaga

Langkah mempelbagai sumber tenaga merupakan tindakan terbaik untuk mengawal kebergantungan kepada satu jenis sumber tenaga.

Pengurangan kebergantungan negara kepada minyak, terutamanya dengan membangunkan sumber tenaga alternatif seperti gas, biodiesel dan solar bukan sahaja melambatkan kehabisan stok sumber alam negara, malah akan menambahbaik usaha pemeliharaan alam sekitar kita.

Malaysia kebelakangan ini menggalakkan penggunaan gas dalam kenderaan memandangkan negara mempunyai simpanan gas sebanyak 85 trilion kaki padu. Sehubungan itu, pembinaan stesen gas runcit yang berjumlah 51 buah pada tahun lalu dijangka bertambah dua kali ganda menjelang 2007.

Biofuel yang berasaskan minyak sawit juga dapat mengurangkan pergantungan negara kepada petroleum dan berpotensi tinggi untuk eksport. Sehubungan itu, kerajaan bersama sektor swasta telah mensasarkan kapasiti 180 ribu tan melalui tiga loji yang dirancang pada tahun ini.

(Sumber: Bajet 2006)

Kehilangan Tenaga

Kerajaan amat berjimat-cermat dalam hal pengurusan sumber tenaga. Namun, kehilangan tenaga sukar dielakkan kerana ia boleh berlaku melalui dua cara iaitu kehilangan teknikal dan bukan teknikal.

Kehilangan teknikal tidak dapat dielakkan kerana ia akan berlaku semasa aktiviti penjanaan tenaga elektrik yang dikenali sebagai generation loss dan aktiviti penghantaran elektrik yang dikenali sebagai transmission loss.

Kajian oleh Suruhanjaya Tenaga menunjukkan kira-kira 45 peratus hingga 68 peratus daripada sumber

tenaga dalam bentuk bahan api seperti minyak, gas asli dan arang batu akan hilang semasa penjanaan elektrik di dalam penjana generator yang digunakan untuk menukar tenaga kimia atau bahan api ke tenaga elektrik.

Tenaga elektrik juga akan mengalami kehilangan tambahan sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus apabila tenaga elektrik dihantar ke stesen-stesen elektrik pengguna.

Transmission loss berlaku dalam kabel-kabel talian penghantaran di mana semakin panjang talian penghantaran maka semakin besar kehilangan tenaga yang berlaku.

Manakala kehilangan bukan teknikal pula berlaku disebabkan oleh terdapatnya kegiatan mencuri bekalan elektrik oleh pengguna-pengguna yang tidak bertanggungjawab.

(Sumber: Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato’ Shaziman bin Abu Mansor pada Persidangan Dewan Rakyat 6 Julai 2005).

Jimat Tenaga Peranan Bersama

Kini masyarakat sedang berhadapan dengan penggunaan tenaga yang kurang berhemat terutama oleh pengguna sendiri di rumah. Keadaan ini umumnya dikaitkan dengan pengguna yang berkemampuan.

Sebenarnya, kita sebagai pengguna juga harus lebih mengetahui cara yang terbaik untuk menjimatkan kadar penggunaan tenaga elektrik di rumah masing-masing.

Dengan cara itu, negara tidak perlu menghasilkan tenaga berlebihan sebaliknya hanya untuk memenuhi keperluan sahaja.

Kerajaan sendiri telah mengumumkan dalam Bajet 2006 bahawa mereka akan menerajui usaha penjimatan tenaga.

Semua agensi kerajaan telah diberi sasaran untuk mencapai 10 peratus penjimatan penggunaan tenaga pada tahun ini.

Amalan seperti membiarkan alat penghawa dingin berada pada suhu terlalu rendah dan membiarkan lampu terpasang apabila tiada orang di pejabat akan dielakkan.

Apakah pula peranan kita masing-masing di rumah? Mari kita ikuti beberapa panduan mudah berikut untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Lampu

  • Pilih lampu yang bersesuaian berdasarkan tempat.
  • Bilik yang mempunyai warna cat yang terang akan memantulkan cahaya dan akan membuatkannya kelihatan lebih terang.
  • Letakkan lampu di sudut bilik kerana lampu tersebut akan bertindak balas di kedua-dua sudut dinding.Mentol kalimantang empat kali lebih cerah daripada mentol bulat walaupun menggunakan watt yang sama dan mampu tahan sehingga lapan kali lebih lama.
  • Mentol yang mempunyai kuasa efisien adalah lebih mahal, tetapi menjimatkan untuk jangka masa panjang.
  • Tutup lampu yang tidak digunakan.
  • Mentol yang kotor perlu dilap untuk mendapatkan kecerahan cahaya yang maksimum.

Kipas

  • Gantikan kipas lama dengan yang baru yang lebih cekap dalam menggunakan tenaga.
  • Bersihkan kipas dan pastikan minyak pelincir mencukupi untuk melanjutkan tempoh hayat kipas.

Televisyen dan komputer

  • Kurangkan masa menonton televisyen. Gunakan masa lapang dengan melakukan riadah di luar.
  • Komputer menggunakan tenaga elektrik yang lebih banyak bagi menghidupkan skrin, CPU, mesin pencetak dan pembesar suara. Jika berkemampuan gunakan komputer riba.

Peralatan rumah

  • Peralatan elektrik yang digunakan untuk memasak banyak menggunakan tenaga elektrik. Didihkan air dengan menggunakan dapur gas.
  • Uruskan masa dengan bijak apabila menggunakan seterika seperti menyeterika pakaian yang banyak pada satu-satu masa.

Peti sejuk

  • Peti sejuk menggunakan 21 peratus bekalan tenaga elektrik di rumah. Lebih besar peti sejuk, lebih besar jumlah perbelanjaan untuk bil elektrik. Pilih saiz yang sesuai untuk keperluan keluarga.
  • Peti sejuk baru menggunakan tenaga elektrik dengan lebih cekap berbanding model lama. Beli model peti sejuk yang terdapat label yang menunjukkan kadar kecekapan penggunaan tenaga oleh EPA (Agensi Perlindungan Alam Sekitar, Amerika Syarikat).
  • Jarakkan sedikit peti sejuk daripada dinding, iaitu gelung kondenser terletak sekurang-kurangnya 4inci/ 10cm dari dinding.
  • Tempatkan peti sejuk jauh daripada dapur dan kawasan panas.
  • Biarkan makanan panas sejuk dahulu sebelum memasukkannya ke dalam peti sejuk.
  • Keluarkan bungkusan yang tidak diperlukan sebelum memasukkan ke dalam peti sejuk.
  • Bersihkan ‘condensor fins’ dan bekas-bekas dalam peti sejuk sebulan sekali.
  • Pastikan kawalan termostat bersesuaian dengan keperluan penyimpanan.
  • Dapatkan seorang juruteknik untuk memeriksa tekanan gas penyejuk nyahfroskan peti sejuk 6 bulan sekali.

Penyaman udara

  • Penyaman udara menggunakan 25 hingga 35 peratus daripada tenaga elektrik. Pilih penyaman udara dengan kuasa yang bersesuaian dengan saiz bilik.
  • Pilih penyaman udara yang mempunyai kadar kecekapan tenaga tertinggi.
  • Elakkan daripada meletak pemampat penyaman udara di tempat yang terdedah dengan cahaya matahari.
  • Penapis harus diperiksa dan dibersihkan sebulan sekali. Talian kipas dan keseluruhan penyaman udara harus diperiksa bagi memperbaiki sebarang kerosakan atau untuk tujuan penyelenggaraan.
  • Kurangkan penggunaan penyaman udara, dengan menanam pokok yang memberikan teduhan cahaya matahari. Buka tingkap untuk membolehkan pengaliran aliran udara.

(Sumber: www.penerangan.gov.my)

Click to rate this post!
[Total: 0 Average: 0]
- Advertisement -spot_img

More articles

- Advertisement -spot_img

Latest article