Penganjuran Lab Timbalan Residen Pembangunan dan Timbalan Residen Sosial, serta Program Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR) telah menjadi sebahagian daripada program utama Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri Sarawak (SIMU) yang berjaya dilaksanakan sepanjang tahun 2011.
Kejayaan penganjuran aktiviti-aktiviti tersebut juga adalah di antara pencapaian SIMU pada tahun tersebut.
Lab Timbalan Residen Pembangunan dan Timbalan Residen Sosial telah dianjurkan oleh SIMU dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) di One Hotel Santubong, Kuching pada 12 – 16 Disember 2011.
Penganjuran Lab ini berikutan saranan Setiausaha Kerajaan Negeri YB Datuk Amar Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani semasa Perjumpaan Khas Setiausaha Kerajaan Sarawak bersama semua Timbalan Residen (Pembangunan dan Sosial) pada 10 Oktober 2011, di Miri.
Lab yang berlangsung selama lima hari ini telah dirasmikan oleh Pemangku Setiausaha Tetap KPS, Puan Aisyah Edris. Seramai 46 orang ahli telah menghadiri Lab tersebut.
Majlis Penutupan Lab telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Sumber Manusia) YBhg Datu Misnu bin Haji Taha.
Bagi program tanggungjawab sosial korporat atau CSR pula, ia telahpun menjadi program “wajib” SIMU pada tahun 2011, yang sedikit sebanyak telah mendekatkan agensi tersebut dengan masyarakat.
Pada 16 Oktober, SIMU dengan kerjasama Sarawak Chinese Physicians’ Association telah menganjurkan ‘Hari Perkhidmatan Perubatan Percuma’ di Dewan Chung Hua, Batu Kawa di Kuching. Program CSR tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga YB Datuk Hajah Fatimah Abdullah.
Sebelum itu, pihak SIMU juga telah menganjurkan program CSR pada 24 Januari, di Kampung Sinar Budi, Batu Kawa di Kuching bersama The Society for Kuching Urban Poor (SKUP).
Penglibatan SIMU dalam Program CSR bermula apabila terlibat sebagai penyelaras program ‘Community Outreach Programme’ di Pulau Bruit, Mukah, pada 3 – 5 Disember 2010, dan di Kampung Medong dan Nanga Baoh, Dalat, Mukah pada 13 – 14 April 2011, anjuran Kuching Specialist Hospital.
Selain daripada itu, pencapaian SIMU pada tahun 2011 termasuklah Persijilan 5S yang berjaya diperolehi untuk kali ke-empat pada 19 Julai. Ruang kerja, stor, sudut 5S dan pantry di SIMU telah diberi pujian oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia Sarawak kerana menunjukkan aktiviti-aktiviti 5S yang kreatif. Sijil 5S tersebut telah disampaikan kepada SIMU semasa Hari Inovasi pada 29 September.
Program Sejiwa Senada adalah salah satu daripada acara penting yang berlangsung pada tahun 2010 dan awal tahun 2011. Ia bermula di Sibu (di SK Bandaran No.3) selama dua (2) hari pada 12 – 13 Jun 2010, dan siri jelajah berakhir di Kuching Utara pada 1 – 3 April 2011 di Sukma Ria, Petra Jaya. Sejiwa Senada telah dirasmikan oleh Ketua Menteri YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di semua Bahagian, kecuali di Bahagian Betong dan Sarikei.
Program tersebut telah melibatkan sebanyak 217 agensi dari pelbagai Jabatan Negeri, Persekutuan serta Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mengambil bahagian dalam pameran itu dengan menggunakan 180 buah ruang pameran di setiap lokasi.
Hampir sejuta pengunjung telah melawat pameran tersebut di seluruh negeri; ia dibuka kepada orang ramai di setiap lokasi, dari jam 9.00 pagi hingga 10.30 malam.
Antara aktiviti-aktiviti yang disusun untuk program selama tiga hari mulai Jumaat sehingga Ahad ini adalah ‘e-peraduan’, ‘Sukan Rakyat’, ‘Pentas Rakyat’, ‘Pameran Perdagangan’ dan juga ceramah serta ‘Persembahan Rakyat’.
Dari segi meningkatkan kepuasan pelanggan pula, antara inisiatif yang telah dilakukan oleh SIMU ialah pengwujudan Mesyuarat Pemantauan Mikro (Micro Monitoring Meeting). Melalui mesyuarat ini, intervensi awal dapat diambil agar permasalahan spesifik yang timbul seperti pengalihan semula talian perkhidmatan dan utiliti, isu tanah dan sebagainya dapat diselesaikan dengan efektif tanpa perlu merencatkan perancangan pembangunan.
Selain itu, laporan analisis projek-projek pembangunan yang berstatus “Lewat Jadual” dan “Projek Tenat” mengikut Bahagian disediakan secara bulanan. Ini membolehkan permasalahan yang menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek-projek pembangunan dapat dikenalpasti di peringkat akar umbi dan seterusnya diselesaikan dengan segera.
SIMU juga memainkan peranan dalam menyelesaikan aduan rakyat berkenaan projek-projek pembangunan negeri. Sebagai contoh, isu keadaan jalan yang rosak teruk di Fasa 1 hingga 5 Taman Samarindah, Samarahan. Dalam kes itu, SIMU telah memastikan pihak Majlis Daerah Samarahan mengambil tindakan yang sewajarnya demi keselesaan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.
Seterusnya, bagi perancangan tahun 2012 SIMU telah membuat persediaan rapi, dan di antara usaha yang sedang dan telah dibuat ialah membuat Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) Unit, merangka Work Program tahun 2012 dan Jadual Lawatan Kerja ke tapak projek sepanjang 2012. Di samping itu, Unit ini telah membuat penstrukturan baru dengan mengukuhkan lagi seksyen-seksyen di SIMU terutamanya Projek Kecil Luar Bandar (MRP).