Kerjasama strategic antara masyarakat, sektor awam, korporat dan orang perseorangan, terutama dalam segala hal berkaitan kebajikan hendaklah digalakkan dan dipertingkatkan lagi.
Pengenalan konsep Rakan Kongsi Kebajikan, program julung-julung kali diadakan Jabatan Kebajikan Negeri Sarawak dilihat tepat pada masanya, kerana semua dan segenap lapisan masyarakat boleh menyumbang segala yang termampu untuk golongan yang memerlukan ini.
“Ini adalah suatu permulaan yang baik dan positif dalam membantu golongan ini,” demikian jelas YB Datuk Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak. Beliau berkata demikianketika menyempurnakan Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan Rakan Kongsi Kebajikan serta Majlis Penyerahan Kunci Kenderaan 4×4 (Toyota Hilux) Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Tambah beliau, Rakan Kongsi Kebajikan amat diperlukan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang inclusive dan bersifat menyeluruh, ini disebabkan kekangan jumlah Jabatan Kebajikan Masyarakat itu sendiri yang berjumlah 548 orang kakitangan tidak memungkinkan penyaluran bantuan dapat dilakukan dengan pantas dan cekap.
Selain itu, menurutnya mengikut rekod terdapat 25,512 golongan miskin dan daripada jumlah tersebut 2,993 orang berada pada kategori miskin, dan terdapat keperluan untuk membantu mereka dengan segera.
Kumpulan sasar yang termasuk dalam kebajikan ini merangkumi kanak-kanak, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), warga miskin dan ibu tunggal.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai aspek kebajikan, beliau berkata masih ada yang mentafsirkan golongan tersebut hanya dibataskan kepada keperluan kewangan atau kebendaan semata-mata, sedangkan lebih daripada itu, mereka amat memerlukan kebajikan sosial, emosi, budaya dan kemasyarakatan.
Menurut YB Datuk Hajah Fatimah, antara jenis-jenis bantuan yang ditawarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat ialah Bantuan Am, Bantuan Kanak-Kanak, Bantuan Orang Tua, Elaun Pekerja Cacat, Bantuan OKU Tidak Bekerja, Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik Terlantar dan Bantuan Anak Pelihara.
Dari segi perlindungan dan pemulihan pula, juvana (kanakkanak dibawah 18 tahun yang terabai) dipulihkan di institusi berikut: Rumah Kanak-Kanak Ajibah Abol Sri Aman; Rumah Kanak-Kanak Kuching; Taman Seri Puteri Kuching; Sekolah Tunas Bakti Kuching; Sekolah Tunas Bakti (P) Miri; dan Asrama Akhlak Kuching.
Mengenai penyerahan kenderaan tersebut, YB Datuk Hajah Fatimah berkata sebanyak lima buah kenderaan 4×4 (berkapasiti 2,500 cc) telah diagihkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tujuan siasatan kes penerima, urusan rasmi melibatkan jabatan dan inter agensi, dan urusan bencana alam.
Kenderaan-kenderaan tersebut akan ditempatkan di Bahagian Betong; Sungai Asap, Kapit; Pulau Bruit, Mukah; Long Bangak, Miri; dan Long Napir, Limbang.