Proram Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Peringkat Negeri Sarawak 2008
Negara Malaysia merupakan negara yang bertuah kerana mempunyai masyarakat majmuk yang dapat hidup dalam keadaan aman, rukun dan bertolak ansur. Semangat perpaduan yang baik ini bukan sahaja dapat dilihat di kalangan orang dewasa dalam masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan kebudayaan, malah ianya juga telah mulai diserapkan dan disemaikan kepada golongan muda iaitu seawal kanak-kanak lagi.
Agenda perpaduan dalam negara kita ini amat dititikberatkan oleh kerajaan kerana menyedari kepentingan perpaduan untuk kemajuan dan pembangunan negara.Maka dengan itu, dalam konteks menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020, perpaduan dan integrasi nasional diutamakan sebagai elemen penting bagi memastikan negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum seperti Malaysia akan terus maju dalam suasana yang stabil dan harmoni.Lantaran dengan kesedaran ini, elemen perpaduan dan integrasi adalah teras dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 sebagai fokus utama dalam Teras ‘Membina Negara Bangsa’.
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) merupakan salah satu program yang akan dapat merealisasikan hasrat murni kerajaan ini. Program RIMUP telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bertujuan untuk mempertingkatkan dan menyuburkan semangat kerjasama antara kaum sebagai pemangkin kepada perpaduan nasional.
Bagi memenuhi salah satu matlamat dalam sistem pendidikan negara iaitu integrasi nasional dan perpaduan antara etnik yang merupakan Teras 1 : Membina Negara Bangsa dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak telah menganjurkan program RIMUP peringkat negeri Sarawak pada 23-24 Mei 2008 bertempat di Pantai Bungai, Bekenu, Miri, Sarawak. Program RIMUP kali ini berkonsepkan program ‘Makan Tahun’ dengan slogannya ‘Maitah Makan Tahun (Marilah Makan Tahun)’ iaitu merupakan tradisi etnik Kedayan dengan menerapkan semangat bantu-membantu dan persefahaman antara satu dengan yang lain.
Memandangkan sekolah merupakan salah satu institusi yang penting kerana mampu menjadi agen berkesan ke arah menyatupadukan murid-murid pelbagai kaum maka program RIMUP ini amat sesuai dijalankan sebagai program penting sekolah demi menyemai semangat perpaduan dan integrasi kaum di kalangan murid-murid.Antara objektif program RIMUP Peringkat Negeri Sarawak kali ini adalah:
- Mewujudkan hubungan mesra di kalangan murid, guru dan masyarakat.
- Memperkenalkan budaya setempat dan memupuk budaya semangat bekerjasama.
- Memupuk semangat jati diri di kalangan pelajar yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
- Melahirkan semangat cinta akan negara.
Bagi memenuhi dan mencapai objektif RIMUP Peringkat Negeri Sarawak kali ini, maka seramai 210 orang murid dan 41 orang guru pengiring telah menyertai program ini.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini dijalankan adalah seperti pertandingan ‘Menuwu Hatap’, pertandingan ‘Mungkus Kelupis’ Permainan tradisional, poco-poco, persembahan kebudayaan pelbagai etnik, acara bermukun dan pemeran.
Antara sekolah yang telah mengambil bahagian dalam program RIMUP kali ini adalah SK Bekenu, SJK (C) Chung Hua Sungai Lumut, SK Kampung Bulau, SK Kampung Selanyau, SK Beliau Ahad, SK Beliau Isa, SK Kampung Masjid, SK Kampung Bungai, KS Keluru Tengah, SK Rumah Essau, SK Kampung Angus, SK Tawakal Satap, SK Ulu Satap, SJK (C) Chung Hua Sibuti, SK Kuala Sibuti, SK Kampung Subak, SK Kelapa Sawit No.1, SK Kita, SJK (C) Chee Mung, SK Kampung Beraya dan 10 orang peserta yang terpilih dari sekolah-sekolah di semenanjung turut menyertai program ini.
Acara penutupan rasmi program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) peringkat negeri Sarawak telah disempurnakan oleh Dr.Hj.Julaihi Bin Hj.Bujang (Pengarah Pelajaran Sarawak).Turut hadir dalam majlis penutupan rasmi program ini adalah En.Abdul Rahim Bin Hj.Mohidin (Penolong Pengarah SPPK,Bahagian Sekolah,KPM), Pn.Rosnani Bt.Hj.Yunus (Pegawai Pelajaran Gabungan Miri), Ketua Kampung dan JKKK Kampung Tanjung Bungai, Kampung Peliau, Kampung Gatas, Kampung Jambu dan Kampung Mumong serta Guru Besar dan Pengetua sekolah di Bahagian Miri ini.
Dengan adanya program RIMUP ini akan dapat mengeratkan hubungan yang baik bukan sahaja di kalangan warga pendidikan tetapi juga masyarakat setempat. Rangkaian persefahaman dan kerjasama yang erat antara sekolah, rumah dan komuniti telah dapat membantu menjayakan program RIMUP ini. Semoga pelaksanaan program RIMUP sebegini akan dapat memberi manfaat kepada pembentukan keperibadian mulia di kalangan generasi muda yang merupakan pewaris masa depan negara Malaysia.
Info: Makan Tahun
Setiap rumpun bangsa di Sarawak ini mempunyai adat dan budayanya yang tersendiri. Budaya ini boleh berbentuk majlis kenduri, pakaian, tarian dan sebagainya. Begitu juga dengan kaum Kedayan. Antara budaya kaum Kedayan yang tidak terdapat pada kaum lain ialah majlis kenduri yang dinamakan “Makan Tahun”.
Majlis ini dinamakan majlis ‘Makan Tahun’ kerana ia diadakan setahun sekali iaitu setelah selesai menuai padi antara bulan Mei hingga Jun. Bagi kaum Kedayan, majlis ini diadakan adalah sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T. atas pemberian rezeki tersebut. Dalam pada itu, jasa dan sumbangan orang-orang tua yang sudah meninggal juga tidak dilipakan. Untuk mengenang jasa mereka, maka ‘tahlil arwah’ mesti diadakan bagi mendoakan kesejahteraan roh orang-orang yang telah meninggal. Dalam majlis ini, ada beberapa jenis makanan yang mesti ada. Antaranya ialah Kelupis, Pinyaram, Wajit, Hinti (Kelapa Parut) dan Telur Dadar serta Nasi Kunyit.
Bagaimanapun, majlis ini tidak ketinggalan daripada mengalami beberapa perubahan terutama sekali dari segi penggunaan bahan seperti alat pengukur kelapa kepada pengukur mesin kelapa, tali pengikat Kelupis daripada Tigis kepada tali Nylon dan lain-lain.
Majlis ‘Makan Tahun’ yang diadakan menekankan konsep gotong-royong dan bekerjasama. Setiap penduduk kampung akan sama-sama menyumbangkan bahan-bahan tertentu seperti yang telah diputuskan dalam musyawarah di peringkat kampung. Biasanya, selain daripada penduduk kampung tersebut yang menghadiri majlis berkenaan, penduduk kampung lain juga akan dijemput sama untuk memeriahkan lagi majlis ‘Makan Tahun’ tersebut. Begitulah sebaliknya jika kampung lain yang mengadakannya. Semangat bekerjasama dan saling bantu-membantu sentiasa dipamerkan dalam tempoh persiapan dan persediaan majlis ‘Makan Tahun’ ini dijalankan.