Bekerja dari rumah adalah langkah terbaik untuk memastikan urusan kerja tidak terjejas ketika pandemik Covid-19
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac hingga 14 April 2020 bagi mengekang penularan wabak Covid-19, banyak majikan termasuk agensi kerajaan telah melaksanakan kaedah bekerja dari rumah.
Namun, bekerja sendirian di rumah boleh menyukarkan proses komunikasi dengan rakan-rakan pejabat.
Walau bagaimanapun, pelbagai aplikasi yang terdapat di internet dapat membantu para pekerja melaksanakan tugas dengan cekap dan peka.
Berikut merupakan lima (5) aplikasi yang boleh digunakan untuk tujuan komunikasi, koordinasi, penyimpanan data dan maklumat ketika bekerja dari rumah.
Slack
Slack adalah salah satu sistem komunikasi yang membantu mengkoordinasi tugasan harian dan sangat fleksibel untuk digunakan.
Bergantung pada kehendak pengguna, mesej boleh dihantar secara langsung kepada pengguna lain atau boleh disiarkan secara terbuka dan dilihat oleh ramai orang.
Slack juga mempunyai penapis carian yang komprehensif apabila pengguna hendak mencari dokumen atau data yang sudah lama ditinggalkan bagi tujuan rujukan atau olahan semula.
Bagi mengurus jadual pekerjaan yang padat, aplikasi ini sesuai digunakan bagi mereka yang bekerja dari rumah.
Asana
Menyiapkan sesuatu projek mungkin boleh mengambil masa berhari-hari kerana perlu berkomunikasi secara terus dengan rakan sekerja untuk mengelakkan kesilapan teknikal pada sesuatu projek.
Asana adalah salah satu aplikasi yang sesuai digunakan ketika bekerja secara jarak jauh. Aplikasi ini menawarkan kemudahan pengurusan tugas antara pekerja serta mudah digunakan selain turut mempamerkan status senarai tugasan bagi memudahkan individu membahagi masa untuk menyiapkan sesuatu tugas.
Dengan ciri layout yang kemas, pengguna tidak perlu merujuk pada buku atau kalendar kerana semuanya boleh dilihat menerusi komputer atau telefon pintar.
Selain itu, carta gantt juga boleh didapati pada versi premium aplikasi Asana bagi yang hendak mengulas tentang status projek yang dijalankan.
Zoom
Untuk mengadakan mesyuarat maya, aplikasi Zoom amat sesuai digunakan kerana aplikasi ini membenarkan lebih daripada 10 orang pengguna membuat panggilan pada satu masa.
Pengguna juga boleh berkongsi skrin komputer atau telefon pintar dengan pemanggil lain. Ciri ini sangat sesuai apabila terdapat pembentangan visual atau grafik.
Untuk versi percuma, jumlah pemanggil dihadkan pada tiga orang sahaja dalam jangka masa 40 minit.
Google Drive
Google Drive adalah alternatif yang menarik bagi penyimpanan fail dan dokumen. Google Drive boleh diakses hanya dengan menggunakan alamat Gmail sedia ada.
Fail dan dokumen ini boleh diakses secara atas talian pada bila-bila masa. Platform ini sangat praktikal dan mudah untuk digunakan.
Google Drive boleh diakses secara percuma dengan muatan fail sebanyak 15GB. Tambahan lagi, ia juga boleh diakses melalui aplikasinya di telefon pintar.
Jika hendak menyimpan fail-fail yang bersaiz besar, aplikasi WeTransfer juga mempunyai fungsi yang sama dan mudah untuk digunakan seperti OneDrive dan Google Drive tetapi sesuai bagi menyimpan fail dan dokumen bersaiz besar.
Jibble
Sesetengah individu mungkin terlupa untuk mengetik waktu mula bekerja apatah lagi apabila bekerja dari rumah.
Jibble merupakan aplikasi yang sesuai digunakan untuk majikan yang ingin memantau status kemasukan pekerja tidak kira di mana mereka berada.