Aplikasi MySejahtera boleh dimuat turun melalui Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery
Orang ramai kini boleh membuat penilaian kesihatan kendiri dari rumah dan dari semasa ke semasa dengan aplikasi MySejahtera.
Aplikasi percuma yang dilancarkan kerajaan pada 20 April lepas dibangunkan bagi membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 serta memberi panduan kepada individu yang diklasifikasi sebagai berisiko dijangkiti wabak berkenaan.
Menurut Menteri Kesihatan YB Datuk Seri Adham Baba, MySejahtera yang standing dengan teknologi yang digunakan di negara-negara maju telah diuji menerusi projek rintis yang dijalankan di beberapa lokasi di Malaysia.
Hasil daripada projek rintis itu yang amat memberangsangkan telah mendorong kerajaan untuk melancarkan dan memperluaskan aplikasi berkenaan ke seluruh negara.
Aplikasi MySejahtera dibangunkan melalui kerjasama strategik antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Menerusi MySejahtera, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini dan sahih mengenai perkembangan Covid-19 di negara, rantau Asia Tenggara dan di seluruh dunia.
Aplikasi tersebut juga diharap dapat membantu masyarakat supaya lebih prihatin terhadap situasi semasa dan meningkatkan tahap kepekaan dalam menjaga diri sendiri ketika berdepan pandemik Covid-19 seterusnya memperkukuhkan keupayaan tadbir urus kerajaan, khususnya KKM dalam merangka strategi menangani penularan wabak itu.
MySejahtera boleh dimuat turun menerusi Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia (GAMMA), Apple Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.