Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas
Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) baru-baru ini memutuskan untuk membuka lebih banyak sektor ekonomi di Sarawak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir pada 9 Jun ini.
Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Menteri YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang merangkap Pengerusi JPBNS.
Menurut beliau, JPBNS akan bermesyuarat pada Rabu, 3 Jun 2020 bagi menentukan jenis sektor ekonomi yang akan dibuka semula berikutan penurunan kes positif COVID-19 di negeri ini.
Sama ada PKPB akan dilanjutkan, beliau memaklumkan bahawa keputusan tersebut adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, tetapi yang pasti, Kerajaan Sarawak akan membuka lebih banyak sektor ekonomi sebelum 9 Jun ini.
Jelas beliau, langkah tersebut dibuat berdasarkan hasil pemantauan oleh JPBNS ke atas pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh premis perniagaan yang amat memuaskan dengan mengutamakan kesihatan pelanggan serta mematuhi undang-undang.
Beberapa sektor ekonomi di Sarawak telah dibuka semula pada 12 Mei selepas ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac.
Dalam pada itu, YB Datuk Amar Douglas berpuas hati dengan keberkesanan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 yang kini menunjukkan penurunan bilangan kes.
Tambah beliau, kejayaan menurunkan kes positif COVID-19 bukan hanya usaha kerajaan semata-mata, malah hasil kerjasama rakyat Sarawak yang begitu patuh dengan peraturan berkaitan pencegahan wabak berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat supaya kekal berdisiplin tinggi serta terus mengamalkan penjagaan kebersihan dan penjarakan sosial.