Semua pekerja asing diwajibkan menjalani saringan Covid-19
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak pernah jemu menyeru rakyat Malaysia dan pekerja asing khususnya untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah ditetapkan bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini.
Sekiranya rakyat Malaysia termasuk para pekerja asing dapat mematuhi SOP PKPB yang telah ditetapkan oleh kerajaan, nescaya rantaian jangkitan COVID-19 di negara kita akan barakhir manakala PKPB di negara kita juga boleh ditamatkan pada 9 Jun 2020 sehingga semua rakyat di seluruh negara akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Namun demikian, kerajaan mendapati bahawa tahap pematuhan terhadap SOP PKPB di kalangan pekerja asing di negara ini berada pada tahap yang tidak baik berbanding dengan rakyat Malaysia.
Merujuk kepada analisis PKPB dari 4 Mei 2020 sehingga 04 Jun 2020, kebanyakan kes baharu (positif COVID-19) adalah melibatkan pekerja warga asing dan juga pendatang tanpa izin (PATI).
Disebabkan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi jawatankuasa sedia ada akan terus melakukan pemantauan terhadap tahap pematuhan SOP PKPB yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kalangan pekerja asing.
MKN adalah sebuah badan yang bertanggungjawab menyelaraskan dasar-dasar berkaitan keselamatan negara dan arahan mengenai langkah-langkah keselamatan, ketenteraman awam dan perkara-perkara melibatkan keselamatan secara langsung di seluruh negara baik di peringkat persekutuan, negeri mahupun daerah.
Selain itu, MKN juga bertanggungjawab membantu Majlis Tindakan Negara (MTN) dalam perkara-perkara berkaitan keselamatan.